Sunday 24 March 2013

Apa itu Obesiti,Makanan Bayi,Minuman Karbonat

.


OBESITI merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Obesiti kini dianggap sebagai satu penyakit dan terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Selain daripada mengehadkan kegiatan fizikal dan sosial, jangka hayat penghidapnya juga semakin pendek

SIAPAKAH YANG TERGOLONG DALAM OBESITI

  • Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya dua kali lebih berat berbanding ukuran ideal;
  • Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 45 kilogram melebihi berat badan sepatutnya;
  • Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 40 atau 35 (sila lihat di bawah untuk bagaimana mengira BMI);
  • Mengalami beberapa penyakit seperti tekanan darah tinggi atau diabetes(kencing manis); dan
  • Gagal mengekalkan berat badan yang sihat dalam jangka panjang sekalipun mengikut diet yang disarankan oleh pakar-pakar pemakanan.
Obesiti terjadi apabila pengambilan tenaga melebihi keperluan. Anda dikatakan obes sekiranya Indeks Jisim Tubuh (IJT) anda mencapai 30.0 kg/m2 atau lebih.
Apakah penyebab berlebihan berat badan dan obesiti?
Berlebihan berat badan atau obesiti adalah akibat ketidakseimbangan tenaga dimana pengambilan melebihi penggunaan pada jangka masa yang panjang.Pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak dan kalori serta penurunan tahap aktiviti fizikal juga merupakan faktor penyumbang utama masalah kegemukan dan obesiti.

Masalah lain juga boleh menyebabkan kegemukan. Ini termasuk:
  • Pengambilan sesetengah jenis ubat
  • Penyakit seperti hypothyroidism, penyakit Cushing’s hypothalamic tumors.
  • Pengurangan mendadak tahap aktiviti fizikal (ahli sukan yang bersara)
  • Ketidakseimbangan hormon
Apakah masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengan kegemukan?
  • Penyakit jantung dan tekanan darah tinggi
Risiko penyakit jantung yang berkaitan dengan obesiti adalah lebih akut di kalangan orang dewasa muda. Risiko juga tinggi dikalangan mereka yang berlebihan lemak pada bahagian abdomen.
  • Tekanan darah tinggi dan angin ahmar
Orang dewasa muda (berumur 20-44 tahun) yang berlebihan berat badan mempunyai risiko mendapat tekanan darah tinggi sebanyak 5.6 kali lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal.
  • Kencing Manis. Terutama di kalangan dewasa yang mempunyai berlebihan lemak di bahagian abdomen.
  • Kanser. Beberapa kajian menunjukkan kaitan yang positif antara berlebihan berat badan dan kanser terutama yang diakibatkan oleh hormon seperti kanser payu dara, kanser serviks, kanser uterus dan kanser ovari dan prostat.
  • Masalah endokrin. Kitaran haid yang tidak tetap, masalah berkaitan haid yang lain, dan masalah komplikasi kehamilan, terutamanya toksemia dan tekanan darah tinggi.
  • Penyakit pundi hempedu. Obesiti adalah faktor risiko bagi penyakit pundi hempedu bagi lelaki dan perempuan pada semua peringkat umur. Risiko tersebut semakin meningkat apabila terdapat lebihan lemak di bahagian abdomen.
  • Penyakit paru-paru. Individu yang obes mengalami masalah pernafasan. Ini mungkin diakibatkan oleh pengecilan rongga toraks akibat pengumpulan lemak di bahagian rusuk, abdomen dan diafragma.
  • Arthritis. Individu yang obes adalah berisiko tinggi untuk menghidap gout artritis iaitu keadaan yang sangat menyakitkan. Berlebihan berat badan akan memberi tekanan pada sendi-sendi, bahagian belakang dan lutut. Akhir sekali ia akan menyebabkan osteoartritis.

Bagaimana untuk menurunkan berat badan?
  • Runding dengan doktor anda untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah perubatan, biologi atau masalah psikologi yang menyebabkan masalah berlebihan berat badan.
  • Runding dengan pakar pemakanan atau pakar diet dari klinik atau hospital untuk mendapatkan nasihat cara menurunkan berat badan secara sihat dan selamat.
  • Anda perlu tahu keperluan tenaga harian anda supaya anda boleh mengurangkannya untuk menurunkan berat badan anda.
    • Rujuk contoh menu mengikut keperluan kalori anda.
  • Jangan terlalu mengurangkan pengambilan kalori kerana jika anda betul-betul lapar, anda akan makan berlebihan.
  • Makanlah mengikut saranan daripada Piramid Makanan Malaysia. Banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh. Jangan hindar terus sumber gula dan lemak kerana ini boleh meningkatkan keinginan anda untuk makan. Selain itu, tubuh badan anda juga memerlukan nutrien yang terdapat dalam lemak dan karbohidrat.
  • Paling Penting: Lakukan senaman dengan konsisten. Mulakan dengan berjalan beberapa minit dan perlahan-lahan tingkatkan jangka masa senaman sehingga 45-60 minit sehari setiap hari. Jika anda belum pernah melakukan senaman, dapatkan nasihat daripada doktor anda terlebih dahulu.
  • Dapatkan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan kumpulan sokongan.
  • Ingat : Penurunan berat badan yang sihat dan realistik memang mengambil masa. Kehilangan ½ kg seminggu mungkin tidak memotivasikan anda, tetapi jika terlalu cepat berat badan diturunkan, anda akan membuat diri anda lapar dan akhirnya anda akan makan lebih banyak.
Obesiti ataupun masalah kegemukan merupakan satu ancaman yang semakin serius kepada rakyat di negara ini. Saban tahun, kajian telah dijalankan bagi mengetahui peratusan dan tahap obesiti bagi penduduk di negara ini. Hasilnya adalah amat menakutkan kerana pertambahannya yang begitu drastik dari tahun ke tahun menunjukkan tahap kesedaran masyarakat kita masih amat berkurangan terutamanya berkaitan dengan soal pengambilan makanan seharian.
"Soal Selidik Pemakanan Kebangsaan 2002/2003 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas orang dewasa mendapati, masalah berlebihan berat badan meningkat kepada 27% (4.2 juta) berbanding hanya 16.6 % (1.7 juta) pada 1996."
Bagi tahun 2006 pula, peratusannya telah meningkat menjadi semakin tinggi sehingga mencapai 43.1% dan telah direkodkan sebagai antara negara yang mengalami tahap obesiti tertinggi di Asia. Peningkatan sebanyak 16% dalam tempoh 3 tahun telah cukup untuk membuktikan bahawa kita semua harus berubah dan perlu mengambil serius tentang isu obesiti ini.
Data dan statistik di atas jelas menunjukan bahawa negara kita bakal menghadapi satu krisis kesihatan yang teruk sekiranya tahap kesedaran berkaitan makanan ini tidak dipupuk kepada masyarakat kita. Fenomena 5G iaitu Gebu, Gemuk, Gempal, Gendut dan Gelebar akan berleluasa disegenap peringkat umur masyarakat kita. Malah yang lebih membimbangkan adalah 1001 penyakit kronik yang dikaitkan dengan obesiti bakal dihadapi sekiranya aspek ini tidak diambil serius.
Mengapa Turunkan Berat Badan?

Jika anda ada terlalu banyak lemak – terutamanya jika kebanyakannya pada pinggang anda – anda berada pada risiko yang lebih tinggi bagi masalah-masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kolesterol darah tinggi dan kencing manis. Dan anda tidak sendirian! Lebih 60% dari rakyat Malaysia adalah terlebih berat badan, dengan 50% dari jumlah itu berada dalam kategori obes. Statistik ini adalah mencemaskan kerana obesiti sekarang dikenalpasti sebagai faktor risiko utama dan sendirian bagi penyakit jantung.

Turunkan Berat BadanBMI anda: Indeks jisim tubuh (BMI) menilai berat badan anda relatif kepada ketinggian. Ianya satu ukuran komposisi tubuh yang berguna kerana ia menghubungkaitkan lemak tubuh dalam kebanyakan orang. Jika indeks jisim tubuh anda ialah 25.0 atau lebih, anda akan mendapat manfaat dengan menurunkan nombor anda ke bawah 25. Jika BMI anda adalah 30.0 atau lebih tinggi, anda pada risiko jelas bagi mendapat masalah kesihatan jantung.

Mengapa Menurunkan Berat Badan Penting Untuk Kesihatan Saya?

Bayangkan membawa beg galas 10 kg sepanjang hari, setiap hari. Ia membebankan, samalah juga seperti berat badan berlebihan. Apabila anda membuang lemak berlebihan dan berat yang tidak diperlukan, anda mengurangkan beban jantung, paru-paru, salur-salur darah dan tulang-tulang anda. Anda memberikan diri anda pemberian untuk hidup dengan aktif, merendahkan tekanan darah anda dan juga membantu anda rasa diri lebih baik dan yakin.

Apa Yang Boleh Saya Buat Untuk Menurunkan Berat Badan?

Jika anda terlebih berat badan atau obes, anda boleh mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung dengan menurunkan berat badan dan mengekalkannya. Malah menghilangkan seserendah dua atau tiga kilogram boleh memberikan penurunan tekanan darah yang dramatik.

Ketahui keperluan kalori anda: Apabila merancang untuk menghilangkan berat badan, ianya penting untuk memahami apakah pengambilan kalori yang disarankan yang perlu bagi jantina, umur dan tahap aktiviti fizikal anda.

Kesan dan jejak kalori anda: Walau jika anda menjejak apa yang anda makan selama beberapa hari, anda akan belajar banyak tentang tabiat anda. Kira jumlah kalori makanan yang anda makan berbanding dengan kalori tenaga yang anda gunakan pada tahap aktiviti fizikal anda. Ianya adalah berkaitan dengan mengimbangkan kalori masuk dan kalori keluar, dan belajar merancang sewajarnya untuknya.

MAKANAN PEJAL BAYI SEBELUM 4 BULAN
Bayi yang diberi makan makanan pejal sebelum 4 bulan berisiko Obes

Bayi yang diberi susu formula yang mula makan makanan pejal sebelum mereka mencapai usia 4 bulan adalah berkemungkinan untuk menjadi obes berbanding dengan yang mula lebih lewat, hasil dari satu kajian.

Penemuan ini menyokong panduan yang mengatakan ibubapa seharusnya menuggu sehingga bayi berada di antara usia 4 hingga 6 bulan untuk mula memberi mereka makanan pejal, kata Dr. Susanna Huh, seorang dari pengkaji utama dari Hospital Kanak-kanak Boston.

“Mematuhi garis panduan tersebut boleh mengurangkan risiko obesiti zaman kanak-kanak,” kata beliau.

Kajian terdahulu telah menunjukkan hasil yang bertentangan sama ada usia bayi mula makan makanan pejal berkait dengan peluang untuk menjadi obes apabila bayi meningkat usia. Ini terutama bagi bayi yang diberi susu formula, peralihan kepada makanan pejal mungkin bermakna satu peningkatan yang ketara dalam jumlah kalori yang diambil mereka.

Dalam kajian ini, Huh dan rakan-rakan membuat pemerhatian terhadap 850 bayi dan ibubapa mereka selama 3 tahun. Apabila bayi berusia 6 bulan, para pengkaji bertanya pada ibu sama ada mereka telah diberi susu ibu – dan jika ya, sudah berapa lama – dan bila mereka mula memberi bayi mereka makanan pejal, seperti bijirin, buah-buahan dan produk tenusu.

Apabila bayi tersebut telah berusia 3 tahun, pengkaji tersebut mengukur tinggi dan berat mereka untuk menentukan kanak-kanak mana yang obes, yang ditakrif sebagai berada dalam kalangan 5 peratus tertinggi dari berat badan ideal (BMI) bagi usia dan jantina mereka.

Bagi bayi yang diberi susu ibu untuk sekurang-kurangnya empat bulan, sebelum mereka mula makan makanan pejal, tidak menunjukkan mereka menjadi obes usia 3 tahun. Tanpa mengira bila mereka mula makan makanan pejal, bayi susuan ibu dalam kajian tersebut hanya berkebarangkalian 1 dari 14 sahaja untuk menjadi obes sebagai kanak-kanak pra-sekolah.

Tetapi penemuan itu, yang telah diterbitkan dalam jurnal Pediatrics, menunjukkan perbezaan bagi bayi yang diberi susu formula bermula dari permulaan lagi, atau yang berhenti menyusu susu ibu sebelum usia 4 bulan.

Bayi-bayi tersebut mempunyai kemungkinan satu dari empat menjadi obes pada usia 3 tahun jika mereka makan makanan pejal sebelum usia 4 bulan. Jika ibubapa menuggu sehingga 4 atau 5 bulan, kemungkinan itu menjadi satu dari 20 sahaja.

Kemungkinan menjadi obes bertambah sekali lagi jika bayi-bayi tidak mula makan makanan pejal sehingga mereka sekurang-kurangnya 6 bulan, tetapi hanya terlalu sedikit daripada bayi-bayi itu untuk pengkaji-pengkaji untuk membuat satu keputusan yang jelas tentang risiko menunggu lebih lama untuk memberi bayi makan makanan pejal.

Di seluruh dunia, para doktor telah mempromosikan pentingnya menyusu susu ibu dalam 4 untuk 6 bulan pertama bayi. Bagaimanapun, di Amerika kira-kira separuh daripada bayi telah diberi susu ibu kurang daripada 4 bulan, atau tidak diberi susu ibu sama sekali, menurut Centers for Disease Control and Prevention.

Susu ibu itu sendiri mengurangkan risiko bayi menjadi obes. Untuk bayi-bayi itu yang dibesarkan dengan susu formula, ia penting untuk ibubapa mereka menunggu sehingga bayi berusia sekurang-kurangnya empat bulan sebelum memberi makan mereka makanan pejal, kata penyelidik-penyelidik itu.

“Tatkala ibu bapa mungkin mempunyai kesukaran menentukan jumlah yang betul untuk memberi makan seorang bayi yang tidak diberi susu ibu, ia mungkin juga ‘cara bayi-bayi itu makan dan belajar untuk makan mempengaruhi risiko obesiti mereka,’” kata Huh.

Dr. David McCormick, seorang pakar kanak-kanak di The University of Texas Medical Branch di Galveston, berkata yang masalah paling biasa beliau lihat ialah ibu bapa menambah bijirin kepada susu formula tanpa terfikir tentang tambahan kalori yang mereka beri kepada bayi mereka.

“Saya rasa itu adalah apa ramai orang lakukan tanpa disedari, berpendapat bayi itu akan menjadi semakin sihat atau membesar lebih cepat,” jelas McCormick, yang tidak terbabit dalam kajian tersebut.

“Itulah bagaimana (orang dewasa) menjadi terlebih berat,” katanya. “Mereka makan lebih sedikit daripada yang mereka sepatutnya setiap hari.”

Kajian tersebut menunjukkan berbicara dengan ibu bapa tentang bila untuk menambah makanan pejal bagi diet seorang bayi adalah sesuatu yang pakar pediatrik harus lakukan secara tetap, McCormick berkata. Memberi makanan pejal terlalu awal, sama ada bersama dengan susu formula atau berasingan, “ialah seakan menyediakan anak anda untuk obesiti.”

Lagi, katanya, “Kita tahu dari kajian lain bahawa jika anda terlebih berat badan atau obes pada usia 3 tahun, anda sangat berkemungkinan untuk kekal menjadi obes.”
MINUMAN KARBONAT PENYUMBANG PENYAKIT 
Minuman berkarbonat memang popular dalam kalangan masyarakat. Tidak kira musim, minuman menjadi hidangan terutamanya apabila berkunjung ke premis makanan segera. Datang dengan pelbagai jenama minuman berkarbonat menjadi hidangan apatah lagi pada musim perayaan.

Biar apa jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama banyak gula.

Selalunya soal kesihatan dan aspek pemakanan sering dipinggirkan seketika pada musim perayaan. Walaupun tahu minuman berkarbonat tinggi kandungan gulanya, kebanyakan kita menghidangkannya kepada keluarga mahupun tetamu tanpa rasa bersalah.

Tarikan iklan yang menceritakan 'keasyikan' menikmati minuman ringan dan berkarbonat memang sukar dilawan.

Malah, lebih membimbangkan, minuman berkarbonat juga menjadi antara daya penarik utama di kantin sekolah, termasuk sekolah rendah.

Sedar atau tidak, kanak-kanak akan menjadi mangsa kerana kealpaan kita. Kanak-kanak antara golongan paling suka minum minuman berkarbonat hingga kadangkala ada yang langsung menolak apabila diberikan air kosong. Jika minum pun hanya seteguk dua, itupun selepas dipaksa.

Kajian mendapati, pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan, terutama berlebihan berat badan dan obesiti.

Minuman berkarbonat sebenarnya tidak mengandungi zat, tetapi banyak kalori yang datang daripada gula. Banyak bukti saintifik menunjukkan ia ada kaitan langsung dengan pertambahan berat badan.

Masalah pertambahan berat badan ini menjadi satu faktor risiko kepada penyakit kencing manis di kalangan orang dewasa muda. Pertambahan berat badan ini adalah proses yang sentiasa berlaku sebagaimana peningkatan usia. Gabungan dua faktor ini juga mendedahkan seseorang kepada risiko serangan jantung dan strok.

Obesiti membimbangkan

Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak kini mencecah tahap membimbangkan. Kanak-kanak yang minum satu tin minuman berkarbonat (325 mililiter) setiap hari mempunyai lebih kurang 10 peratus tenaga berbanding kanak-kanak lain. Tenaga ini (yang datang daripada gula), jika tidak digunakan, akan disimpan dalam badan sebagai lemak.

Kajian yang disiarkan dalam jurnal General Dentistry mendapati, tabiat minum minuman berkarbonat boleh meningkatkan masalah kerosakan dan pereputan gigi.

Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Ho Shiau Fen, mengakui hakikat ini.

Bukan gula saja yang menjadi faktor menyebabkan kerosakan gigi, tetapi kandungan asid dalam minuman berkarbonat boleh melemah serta mengikis lapisan enamel (lapisan luar) pada gigi. Ini mempercepatkan proses pereputan gigi.

"Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada keperluan kalori seseorang. Sebagai contohnya, jika keperluan kalori seseorang itu adalah 2000 kalori, jumlah gula yang boleh diambil adalah kurang daripada 200 kalori, iaitu kira-kira 10 sudu teh gula.

Jumlah ini termasuk gula tersembunyi. Ini adalah jumlah yang diperoleh daripada setiap makanan kita, sama ada dalam teh, kopi atau makanan yang bergula ketika bersarapan, makanan sarapan, makanan tengah hari, sajian minum petang dan makan malam.

"Satu tin minuman berkarbonat mengandungi antara enam hingga 10 sudu teh gula. Ini bermakna, jika kita minum satu tin minuman berkarbonat, kita sudah mencapai sukatan gula daripada yang disarankan.

"Masalah pengambilan gula yang terlalu banyak biasa berlaku pada musim perayaan. Boleh dikatakan setiap rumah menghidangkan minuman berkarbonat. Itu belum mengambil kira kandungan gula dalam kek, biskut atau hidangan lain," katanya.

Ramai orang menganggap tidak mengapa untuk minum satu tin minuman berkarbonat, asalkan ia diiringi beberapa gelas air kosong. Mereka percaya air kosong akan 'mencairkan' kepekatan minuman berkarbonat.

Hakikatnya, anggapan ini salah dan perlu diperbetulkan segera. Tidak kira berapa banyak air kosong diminum, kandungan gula daripada minuman berkarbonat yang masuk ke dalam badan tetap sama. Tetap melebihi tahap keperluan harian kita. Masalah ini bertambah buruk dengan pengambilan makanan manis seperti kek dan biskut hari raya.

Untuk mengurangkan kuantiti gula diambil, kurangkan pengambilan minuman berkarbonat adalah cara paling praktikal.

Ini boleh dibancuh atau dicampur dengan air kosong dan dikongsi minum beramai-ramai. Bagaimanapun, jika air dibancuh dihabiskan sendirian, kandungan gula yang masuk ke badan tetap sama, iaitu antara enam hingga 10 sudu teh.

Di kalangan kanak-kanak pula, terlalu banyak minum minuman berkarbonat menyebabkan mereka kurang minum air kosong atau minuman berkhasiat seperti susu. Selain gula, kebanyakan minuman kola memasukkan kafein sebagai penambah rasa. Kafein adalah 'bahan perangsang' yang membuatkan kita ketagih untuk minum lebih banyak dan kerap.

Banyak kajian mendapati, kafein meningkatkan pengeluaran kalsium daripada tulang, menyebabkan kita terdedah kepada masalah reput tulang atau osteoporosis jika diambil dalam jangka masa panjang.

Justeru, jika dapat, pada musim perayaan ini elak mengambil terlalu banyak minuman berkarbonat, sebaliknya gantikan dengan pilihan lain seperti teh atau jus buah-buahan.

Malangnya, budaya orang kita yang menerima saja minuman dihidang tuan rumah boleh memburukkan keadaan, terutama di kalangan pesakit kencing manis.

Dalam hal ini, Ho menyarankan pesakit berterus terang dengan tuan rumah atau meminta minuman lain (pilihan terbaik adalah air kosong) sebagai pengganti. Malah, sebagai tuan rumah juga, kita mesti prihatin keadaan kesihatan tetamu.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak mengenai keburukan meminum terlalu banyak minuman berkarbonat.

Pada masa sama, mereka juga mesti menjadi teladan kepada anak dengan mengamalkan minum banyak air kosong.

No comments:

Post a Comment